fbpx

Mudir, timbalan cuba hidupkan ajaran sesat Aurad Muhammadiah ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua individu berkenaan yang mempunyai kaitan dengan GISBH dikenakan bon jaminan di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, hari ini. Foto oleh NOR SHAFAWATI YUP.

SEREMBAN – Dua individu iaitu mudir dan timbalan mudir sebuah madrasah di Kampung Senama Hilir, Rembau yang mempunyai kaitan de­ngan GISB Holdings Sdn. Bhd. ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) selepas dikesan cuba menghidupkan semula ajaran Aurad Muhammadiah yang difatwakan sesat.

Pengarah JHEAINS, Mohd. Asri Abdullah memberitahu, kedua-dua lelaki berusia 46 dan 54 tahun itu ditahan Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS di Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau pada pukul 3 petang semalam.

“Penahanan kedua-dua orang disyaki (OYDS) ini adalah untuk siasatan lanjut berkaitan pengoperasian sekolah agama tanpa kebenaran di Kampung Senama Hilir, Rembau.

“Walaubagaimanapun, ketika soal siasat dijalankan kedua-dua OYDS didapati cuba menghidupkan semula ajaran Aurad Muhammadiah yang telah difatwakan sesat oleh Jabatan Mufti,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd. Asri berkata, dua individu itu kali pertama ditahan pada 21 September lalu oleh pihak polis dalam Op Global sebelum ditahan semula Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, semalam.

Sehubungan itu, JHEAINS telah membuat permohonan bon jaminan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini terhadap mudir dan timbalan mudir itu bagi tujuan melengkapkan kertas siasatan.

Hakim Syarie, Yuhanis Yusop memerintahkan OYDS mudir dikenakan jaminan sebanyak RM1,500, manakala timbalan mudir sebanyak RM3,500 masing-masing dengan penjamin warganegara dan bermastautin di Negeri Sembilan.

Ia selepas permohonan dikemukakan oleh Penolong Pengarah (Kanan) Operasi Bahagian Penguatkuasa JHEIANS, Ahmad Zaki Hamzah bagi membolehkan mudir disiasat mengikut Seksyen 22 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Islam Negeri Sembilan 1996.

Timbalan mudir pula disiasat atas tiga kesalahan mengikut Seksyen 22 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Islam Negeri Sembilan 1996, Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 Pindaan 2019 dan Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 Pindaan 2019.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan kepada kedua-dua OYDS iaitu tidak menganggu saksi-saksi kes, melapor diri setiap bulan kepada Ketua Penguatkuasa Agama Rembau dan menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 November depan.

Pada 22 September lalu, media melaporkan pengerusi dan seorang mudir sebuah madrasah di Ulu Beting, Kuala Pilah yang mempunyai kaitan dengan GISBH dikenakan bon jaminan RM2,000 setiap seorang dengan dua penjamin warganegara dan yang bermastautin di Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI