KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Nomura Asset Management Malaysia (Nomura), sekali gus mencatat kolaborasi pertama dengan firma pengurusan aset global.
Kerjasama strategik ini memperkenalkan enam produk pelaburan patuh syariah antaranya Dana Ekuiti Semikonduktor Syariah Global Nomura dan Dana Ekuiti Lestari Syariah Global Nomura.
Selain itu, produk pelaburan lain juga termasuk Dana Pertumbuhan Strategik Syariah Global Nomura, Dana i-Income Nomura, Dana i-Cash Nomura dan Dana i-Income Nomura.
Pengarah Pengurusan Kekayaan Bank Islam, Datin Sarah Muttalib berkata, sebagai sebuah bank yang memacu kemakmuran, pihaknya komited menyediakan penyelesaian kewangan yang inovatif dan relevan untuk para pelanggan.
Ujarnya, Nomura selari dengan nilai-nilai Bank Islam dan terkenal dengan komitmennya terhadap kelestarian dan amalan beretika berasaskan prinsip Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG).
“Kami berhasrat untuk menawarkan penyelesaian pelaburan inovatif yang memenuhi aspirasi kewangan pelanggan serta memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani MoU antara Bank Islam dan Nomura di sini, hari ini.
Tambah Sarah, pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan bagi memenuhi keperluan pelanggan semakin berkembang daripada pengumpulan kekayaan, perancangan perlindungan kepada strategi persaraan.
“Tawaran Pengurusan Kekayaan Islam kami, berteraskan konsep ‘Dari Buaian ke Akhirat,’ yang inklusif, memenuhi keperluan pelanggan Muslim dan bukan Islam.
“Kami berdedikasi untuk meningkatkan peluang kepada pelabur tempatan dengan pelaburan patuh syariah sekali gus membantu mereka membuat keputusan kewangan bermaklumat dan beretika,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Nomura, Leslie Yap berkata, dengan kerjasama ini, pihaknya dapat memperluaskan capaiannya kepada pangkalan pelabur yang lebih luas seiring dengan peningkatan permintaan terhadap dana patuh syariah dan mampan.
“Sebagai rakan kerjasama yang ideal untuk mengagihkan dana kami, Bank Islam memiliki pengalaman luas dalam industri kewangan Islam serta rangkaian pengedaran yang kukuh,” katanya.
Dana patuh Syariah Nomura kini tersedia buat pelabur Malaysia melalui saluran agihan Bank Islam dan cawangannya di seluruh negara.
Untuk maklumat lanjut mengenai cara memohon dan produk kami, sila layari
www.bankislam.com/personal-banking/wealth-management/. – KOSMO! ONLINE