fbpx

Hanya syarikat ada sijil ABMS dibenar bida projek kerajaan lebih RM100 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam ketika ditemui pemberita di Bangi, Selangor, hari ini.

BANGI – Semua syarikat pembinaan berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dikehendaki mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah ISO 37001 (ABMS) dalam tempoh dua tahun ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, selepas tempoh tersebut hanya syarikat pembinaan dengan pensijilan ABMS akan dibenarkan membida kontrak kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Jelas beliau, perkara itu telah persetujui secara dasar oleh Jawatankuasa Tadbir Urus Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencerminkan komitmen syarikat untuk menghapuskan rasuah apabila membida tender di bawah Kementerian Kewangan.

“Pada masa ini syarikat-syarikat ini masih boleh membida kontrak kerajaan, tetapi mereka tidak akan dibenarkan membida projek dengan Kementerian Kewangan jika mereka tidak mempunyai ABMS selepas dua tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Persidangan Penyelidikan Kebangsaan Mengenai Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah Ke-3 yang dirasmikan oleh Ketua Setiuasaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, di sini hari ini.

ABMS antara lain bertujuan untuk membantu syarikat mengesan, mencegah dan bertindak balas terhadap isu rasuah yang merangkumi pematuhan terhadap undang-undang dan komitmen sukarela bertujuan untuk menghapuskan rasuah.

Terdahulu, Azam dalam ucapannya berkata, Royal Institution of Chartered Surveyors (RICS) melaporkan sebanyak AS5 trilion setahun nilai ketirisan global dijangka disumbangkan oleh sektor pembinaan menjelang tahun 2030 jika tiada langkah berkesan diambil bagi menangani rasuah dalam sektor itu.

Menurut beliau, sektor pembinaan di Malaysia juga merupakan salah satu sektor dibawah pemerhatian SPRM dengan menumpukan kepada projek-projek melibatkan kerajaan.

“Kami lihat memang banyak berlaku ketirisan yang mana kita kenal pasti antaranya rasuah kepada pihak-pihak pentadbiran. Rasuah dalam harga kos ditingkatkan yang menyebabkan ketirisan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI