fbpx

Lelaki tular rotan, tekan dada budak rumah amal GISBH dijel 10 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Barur ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen, hari ini. Foto oleh NURUL NAJWA HASRAN/KOSMO!

KLANG – Perbuatan kejam seorang guru agama mendera beberapa kanak-kanak rumah amal GISB Holdings Sdn. Bhd. (GIBH) sehingga tular dalam media sosial baru-baru ini akhirnya berbalas apabila dia dihukum penjara 10 tahun hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Barur Rahim Hisam, 23, selepas tertuduh yang juga warden mengaku bersalah atas keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.

Hukuman itu berjalan bermula dari tarikh tangkapan pada 11 September lalu.

Tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap tiga kanak-kanak lelaki berusia 10 dan 11 tahun menganiaya mereka dengan merotan dan menekan dada menggunakan lutut salah seorang mangsa yang mungkin menyebabkan kecederaan.

Kesalahan dilakukan di dua buah premis di Bukit Raja, Klang Utara di sini pada Jun, Julai dan September.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia sudah insaf atas perbuatannya.

“Saya benar-benar insaf tekad serta berazam untuk tidak mengulangi lagi (kesalahan),” kata Muhammad Barur

Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan itu adalah serius selain tular sehingga menggusarkan masyarakat.

“Akibat perbuatan itu mangsa-mangsa yang masih bersekolah (mengalami) trauma dan menghantui mereka,” kata Kalmizah.

Pada 16 September lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan berhubung rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai didera.

Susulan itu, polis telah mengesan kanak-kanak lelaki terbabit dalam kalangan mangsa yang berjaya diselamatkan sebelum ini yang dipisahkan dengan bapanya sejak 2021.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi satu minit sembilan saat memaparkan seorang kanak-kanak lelaki didakwa didera itu tular di media sosial.

Dalam rakaman video itu, kanak-kanak lelaki terbabit dilihat mengerang kesakitan ketika disoal beberapa kali oleh seorang lelaki dewasa. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI