KUALA PERLIS – Tindakan pantas orang awam berjaya mengelakkan asrama perempuan Maahad Tahfiz Al-Quran Nurul Saadah musnah dalam kebakaran di Jalan Kuda Laut, Behor Mali dekat sini hari ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perlis, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 3.32 petang.
“Sejurus mendapat panggilan, sepasukan anggota bomba dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Perlis bergegas ke Maahad Tahfiz Al-Quran Nurul Saadah.
“Sepasukan enam anggota bomba tiba di lokasi kejadian dan mendapati berlaku kebakaran di ruang asrama institusi pendidikan itu tetapi berjaya dipadamkan orang awam. Tiada kemalangan jiwa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE