fbpx

Buang lapan tong bahan kimia di Jalan Desa Aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tong dipercayai berisi bahan kimia yang dibuang di lokasi kejadian.

SHAH ALAM – Sebanyak lapan tong dipercayai berisi bahan kimia dibuang secara haram ke dalam alur parit di kawasan perindustrian, Jalan Desa Aman, Sungai Buloh dekat sini, semalam.

Kejadian itu dikesan kira-kira pukul 2 petang dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bergegas ke lokasi berkenaan.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, semakan mendapati kesemua tong itu tidak mempunyai label.

Katanya, LUAS dan MPS turut mengesan bau yang kuat seakan bahan kimia di lokasi pembuangan tong-tong tersebut.

“Pemerhatian lanjut LUAS mendapati alur parit tersebut memasuki Sungaj Gasi seterusnya ke Sungai Buloh. Tiada muka sauk loji rawatan air (LRA) berada di hilir aliran terlibat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau memaklumkan, MPS memasang pita keselamatan di lokasi untuk tindakan siasatan dan pencegahan lanjut.

LUAS segera berhubung dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi tindakan bersepadu.

“JAS telah mengambil sampel di tong berkenaan dengan menggunakan kelengkapan keselamatan pengendalian bahan terjadual susulan kandungan yang disyaki bahan kimia.

“LUAS juga melakukan pensampelan untuk dianalisis dan membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999. Selain itu, kerja-kerja pembersihan di lokasi dilaksanakan oleh MPS,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri dan LUAS menzahirkan penghargaan kepada semua pihak dan masyarakat dalam penyampaian maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan-kawasan sumber air negeri sehingga tindakan segera dapat diambil dengan segera.

“Ini membuktikan masyarakat semakin sedar akan kepentingan pemeliharaan sumber air dan alam sekitar khususnya sungai yang perlu dijaga meskipun aliran sungai tidak melibatkan muka sauk LRA dan bekalan air,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI