KUALA LUMPUR – Polis mengesan modus operandi individu mengutip derma dengan mendakwa untuk membantu anak-anak ahli GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang terkesan susulan tangkapan Op Global baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hantaran menerusi Facebook itu dikesan dimuat naik oleh seorang individu.
“PDRM mengesan hantaran yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook di dalam ruangan komuniti bagi mengumpul dana untuk membantu anak-anak ahli GISBH yang terkesan akibat isu ini.
“Masyarakat dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan usaha tersebut yang dipercayai cubaan untuk mengambil kesempatan atas isu ini.
“PDRM menyeru kepada masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan bagi kes ini kepada pihak polis,” katanya.
Beliau juga menasihati kepada tahanan yang dibebaskan dengan jaminan agar tampil kepada pihak polis sekiranya memerlukan sokongan kebajikan.
“PDRM komited untuk membawa individu yang bertanggungjawab ke muka pengadilan berlandaskan peruntukan undang-undang bagi memastikan keamanan dan ketenteraman masyarakat terus terpelihara,” katanya.-KOSMO! ONLINE.