SHAH ALAM – Hujan lebat berterusan selama beberapa jam mengakibatkan kawasan di sekitar Jalan Sungai Merbau, Kota Kemuning di sini, dilanda banjir kilat hari ini.
Kejadian bermula kira-kira pukul 2.30 petang itu menjejaskan penduduk apabila kediaman dinaiki air sedalam 0.6 meter, bagaimanapun tiada pemindahan mangsa banjir dilakukan setakat ini.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat pada pukul 2.56 petang.
“Pemeriksaan mendapati hujan lebat menyebabkan kawasan itu dinaiki air sehingga paras betis. Situasi bagaimanapun terkawal dan paras air semakin surut. Tiada pemindahan mangsa dilakukan,” katanya ketika dihubungi. – KOSMO! ONLINE