BEIJING – Bintang tenis sensasi Britain, Emma Raducanu terpaksa menarik diri daripada Terbuka China di Beijing minggu ini selepas mengalami kecederaan kaki semasa suku akhir Terbuka Korea di Seoul pada Sabtu lalu.
Meskipun namanya tersenarai dalam undian rasmi yang dikeluarkan pada Isnin lalu, tetapi Raducanu segera menarik diri daripada kejohanan selepas mengesahkan kecederaannya.
“Saya terseliuh ligamen kaki dan malangnya ia memerlukan masa lebih lama untuk sembuh. Saya terpaksa menarik diri dari Beijing tetapi saya berharap dapat kembali beraksi secepat mungkin,” jelasnya.
Pemain berusia 21 tahun yang kini berada di ranking ke-54 dunia, sepatutnya berdepan pemain kelayakan di pusingan pertama dan jika berjaya mara, dia berkemungkinan bertemu bintang China, Zheng Qinwen yang merupakan pilihan kelima kejohanan.
Semasa aksi di Seoul, Raducanu terpaksa meminta masa perubatan selepas hanya lima permainan ketika menentang pemain Rusia, Daria Kasatkina sebelum terpaksa mengambil keputusan untuk menarik diri daripada perlawanan tersebut.
Raducanu yang pernah mencipta sejarah dengan menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2021 sebagai pemain kelayakan remaja, dijadualkan kembali ke gelanggang di Terbuka Wuhan pada 7 Oktober depan.
“Saya telah menghadapi beberapa kecederaan sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Namun, saya tetap bekerja keras, terutama pada awal dan pertengahan tahun ini dari segi fizikal,” kata Raducanu yang pernah menduduki ranking ke-10 dunia.
Musim lalu, Raducanu terlepas sebahagian besar aksi kerana menjalani pembedahan pada kedua-dua pergelangan tangan serta buku lali kirinya tetapi dia kembali beraksi awal tahun ini dan perlahan-lahan meningkatkan kedudukannya dalam carta ranking dunia.
Pada aksi Terbuka Korea, Raducanu berjaya menewaskan dua pemain di ranking lebih tinggi, Peyton Stearns dari AS dan Yue Yuan (China) sekali gus meletakkan Raducanu dalam kelompok 50 terbaik dunia.
Musim ini, Raducanu telah bermain 33 perlawanan dalam Jelajah WTA dengan hanya tiga perlawanan kurang berbanding tahun 2022 sekali gus menjadikan musim ini paling aktif dalam kariernya. – AGENSI