PARIS – Bintang berbasikal lebuh raya Slovenia, Tadej Pogacar bersemangat tinggi untuk merangkul jersi pelangi berprestij pada Kejohanan Dunia UCI 2024 di Zurich, Switzerland pada Ahad ini apabila laluan mendaki yang mencabar kali ini dilihat sebagai peluang emas buatnya.
Pogacar yang dianggap antara pelumba terhebat generasinya selepas mencipta rekod mengagumkan dengan empat kemenangan Grand Tour dan enam kejuaraan Monumen, masih belum berjaya mencapai gelaran sebagai juara dunia dengan jersi pelangi ikonik.
“Peluang itu sentiasa ada. Tahun lalu saya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga walaupun laluan tidak berpihak kepada saya tetapi tahun ini peluangnya lebih besar,” kata Pogacar.
Perlumbaan sejauh 274 kilometer di Zurich dengan hampir 4,500 meter pendakian direka khas untuk pelumba seperti Pogacar apabila melibatkan laluan yang penuh dengan pendakian curam dan perubahan ketinggian mencabar sesuai dengan kebolehannya.
Sejak mula melibatkan diri secara profesional, Pogacar telah membuktikan prestasi luar biasanya apabila memenangi Grand Tour dan perlumbaan satu hari dengan penuh dominasi.
Aksinya mirip legenda berbasikal seperti Eddy Merckx dan Bernard Hinault apabila dia berjaya menawan Monumen Liege-Bastogne-Liege dan Il Lombardia selain kemenangan di Tour de France tahun ini mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pelumba elit.
“Saya rasa ini adalah laluan terbaik untuk Kejohanan Dunia yang pernah saya hadapi. Itulah sebabnya saya begitu teruja kali ini. Tetapi perlumbaan ini sangat sukar jika ada kesilapan, peluang untuk menang akan terjejas,” jelas Pogacar.
Dalam perlumbaan tersebut, Pogacar akan mengetuai pasukan Slovenia yang turut dibarisi bintang berbasikal dunia seperti Primoz Roglic.
Bagaimanapun, Pogacar dijangka menjadi tumpuan utama dalam perebutan gelaran apabila bakal berhadapan cabaran terbesar dari juara bertahan, Mathieu van der Poel serta bintang lain seperti Remco Evenepoel. – AGENSI