PETALING JAYA – Shah Alam mencatatkan jumlah hujan tertinggi tahun ini dengan hujan lebat yang melebihi 97.5 milimeter (mm) di kawasan Kg. Lombong, Klang pada hari ini.
Laporan terkini menunjukkan bahawa jumlah hujan ini merupakan antara yang paling tinggi direkodkan untuk tahun ini dan telah memecahkan rekod tahunan di kawasan tersebut.
Sementara itu, kawasan lain di Selangor iaitu Puchong Drop di Petaling juga mengalami hujan lebat dengan jumlah hujan mencapai 66.5 milimeter (mm).
Walau bagaimanapun, paras air di kedua-dua kawasan terbabit masih berada dalam kategori normal. Namun, peningkatan mendadak dalam kadar hujan agak membimbangkan.
Air di Sungai Klang di Kg. Lombong, Klang, dilaporkan naik sehingga 0.54 meter, manakala di Puchong Drop, paras air berada pada 5.17 meter, kedua-duanya dalam keadaan menaik.
Orang ramai dinasihati untuk berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan cuaca buruk terutamanya mereka yang menetap di kawasan berisiko banjir.
Terdahulu, hampir keseluruhan kawasan di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak dijangka mengalami hujan lebat serta ribut petir sehingga pukul 5 petang ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) berkata antara negeri yang terlibat adalah Selangor, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, WP Putrajaya serta Johor. – KOSMO! ONLINE