fbpx

Lelaki miliki 26 rekod lampau rempuh kenderaan polis ditembak mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barangan yang dirampas daripada kenderaan suspek selepas ditembak mati dalam kejadian di Kampung Baru Kundang, Rawang, Gombak, awal pagi tadi.

GOMBAK – Seorang penjenayah disyaki aktif melakukan pecah rumah ditembak mati dalam kejadian di Kampung Baru Kundang, Rawang, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian pada pukul 1.15 pagi itu berlaku apabila sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menjalankan risikan maklumat bagi mengesan suspek yang terlibat dalam kes pecah kedai di kawasan Damansara.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, mereka terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina yang dipandu oleh suspek berkait kes yang disiasat.

“Dalam kejadian tersebut, suspek enggan memberhentikan kereta lalu bertindak mengundur secara laju dan sangat merbahaya lalu merempuh kenderaan milik pasukan polis termasuk milik orang awam yang berada di tempat kejadian.

“Ekoran daripada itu, pihak polis melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri ke arah kenderaan suspek dan mengakibatkan kereta yang dipandu suspek terbabas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, suspek yang terkena tembakan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tambahnya, siasatan mendapati suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia lewat 30-an dan mempunyai 26 rekod jenayah lampau membabitkan jenayah (17) dan jenayah narkotik (9).

“Suspek ini juga mempunyai 10 rekod kes pecah rumah membabitkan premis kediaman dan kedai.

“Suspek juga pernah dikenakan tindakan di bawah kesalahan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) Seksyen 15 (d),” katanya.

Ujar Hussein, pihaknya turut merampas beberapa peralatan pecah rumah yang ditemui dalam kenderaan suspek.

“Antara yang dirampas adalah sebilah parang berukuran 84 centimeter(cm) , satu pemotong warna hitam berukuran 90cm, satu batang besi berukuran 94 cm, satu kapak besi berukuran 50 cm, satu bilah parang berukuran 46cm.

“Turut dirampas satu bilah parang berukuran 75cm dan satu batang kuku kambing berukuran 52cm, satu pemotong, alat kikisan cat,” katanya.

Kata Hussein, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu mencuba membunuh orang.

“Pihak polis juga sedang mengesan beberapa ahli kumpulan suspek yang masih bebas,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI