fbpx

‘Saya takut, belum layak digelar Ratu Etnik Kreatif Malaysia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AISHA RETRO

KUALA LUMPUR: Meski tampil dengan lagu terbaharu berjudul Samudera yang mengangkat dialek Kelantan dan kesenian makyung, penyanyi Aisha Retno menolak sekiranya ada menggelarnya Ratu Etnik Kreatif Malaysia.

Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, berkata, selain takut memegang gelaran tersebut dia juga masih tercari-cari genre yang sesuai buat dirinya.

“Saya takut. Bukan menolak gelaran itu tetapi bila orang tanya saya akan kata belum layak kerana baru ada tiga lagu bergenre tradisional.

“Apa yang saya boleh katakan insya-Allah kalau ada rezeki saya mahu hasilkan album tradisional-moden.

“Daripada situ kita lihat macam mana sebab saya pun masih lagi mencari genre sesuai,” katanya kepada Kosmo! Online ketika sidang media pelancaran lagu Samudera, semalam.

Dikritik menghasilkan lagu berdialek Kelantan, pelantun lagu Sutera itu mahu orang Pantai Timur lebih mengenali dirinya sebagai anak jati Besut, Terengganu.

“Ramai yang tak tahu sebenarnya bapa saya berasal dari Besut jadi saya mahu menghormati budaya Kelantan dengan penghasilan lagu ini. Tak sangka pula lagu ini mencetuskan kontroversi.

“Jadi jangan risau saya ada darah Kelantan dan saya buat lagu ini untuk tarik peminat di Pantai Timur sebab dari segi demografik ramai lagi orang di Pantai Timur yang masih belum mengenali saya.

“Melalui lagu ini mungkin boleh mempengaruhi mereka untuk mendengar lagu saya tetapi dalam masa sama saya nak tarik peminat Indonesia dan juga di sini dengan memperkenalkan dialek Kelantan serta seni makyung,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, Aisha mengakui masih belum fasih bertutur dalam loghat Kelantan dan bersungguh-sungguh mempelajari bahasa tersebut dengan bapanya.

“Sebenarnya saya tidak fasih berdialek Kelantan, saya ambil masa dua bulan untuk belajar dengan ayah. Saya ‘struggle’ sebenarnya nak belajar loghat Kelantan, sama seperti belajar bahasa Jawa.

“Namun, saya dapati bahasa Kelantan lebih unik selepas mendalaminya dan boleh digunakan dalam seni tetapi saya cakna sebagai seorang artis.

“Dalam masa sama saya kena teroka lebih lagi dan berhati-hati,” tuturnya.

Samudera didedikasikan kepada wanita dan penceritaan lagu tersebut diinspirasikan daripada legenda Hikayat Cik Siti Wan Kembang.

Lagu ini ditulis dan digubah sendiri oleh Aisha bersama Glowrush dan Shanekennedy. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI