SEPANG- Seramai 39 pendaki yang menyertai ekspedisi pendakian ke Everest Base Camp (EBC), Nepal mencatatkan rekod tersendiri apabila menjadi kumpulan pendaki paling ramai dari Malaysia berjaya menjejaki EBC itu.
Kumpulan pendaki itu terdiri daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selain kakitangan Pejabat Sultan Pahang, Hospital Sultan Ahmad Shah dan wakil agensi media diketuai oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Abdul Rahman.
Mereka yang selamat tiba di tanah air hari ini telah memulakan pendakian pada 9 September lalu bersempena Hari Keputeraan Sultan Pahang.
Menurut JBPM, peserta ekspedisi mengharungi cabaran seperti perjalanan dan pendakian sejauh 110 kilometer dalam keadaan cuaca sangat sejuk sehingga mencecah -1 Celsius selain kesukaran lain seperti struktur muka bumi yang berbatu dan licin.
“Bagaimanapun, susulan ketabahan dan nekad peserta ekspedisi, mereka berjaya tiba di EBC pada ketinggian 5,364 meter dari aras laut pada pukul 11.10 pagi, 18 September lalu,” katanya hari ini.
Terdahulu, kepulangan mereka disambut Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad bersama warga JBPM di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini
Ekspedisi itu turut disertai lima wakil kerajaan Negeri Pahang termasuk Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan, Fadzli Mohamad Kamal dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (Pengurusan), Datuk Dr. Mohd. Zakaria Ibrahim yang mengiringi peserta ekspedisi hingga ke Namche Bazaar di ketinggian 3,441 meter dari aras laut sebagai memberi sokongan moral kepada mereka.
Program pendakian ini bermula pada tahun 2014 hasil cetusan idea pengamal media di Negeri Pahang dengan kerjasama erat JBPM Negeri Pahang serta diteruskan sehingga kini. – KOSMO! ONLINE