fbpx

24 termasuk CEO GISBH disambung reman empat hari lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CEO GISBH antara 24 individu yang dibawa untuk proses lanjutan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam. FOTO: AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Tempoh reman Pengerusi Eksekutif GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan isterinya disambung empat hari lagi.

Lanjutan reman itu dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas permohonan dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Turut menerima tempoh reman sama adalah 22 lagi individu tertinggi dalam pengurusan GISBH. Kesemua suspek dianggarkan berusia 25 hingga 65 tahun.

Sambungan reman itu susulan reman tujuh hari dikenakan kepada mereka bermula 19 September lalu tamat hari ini. Pada prosiding itu, kesemua suspek itu diwakili Peguam Rosli Kamaruddin.

Terdahulu, mereka hadir ke mahkamah kira-kira pukul 9.20 pagi dengan dikawal ketat anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Sebelum ini, seramai 19 individu ditahan di empat unit kondominium di Jalan Imbi, Bukit Bintang dekat sini kira-kira pukul 5.40 pagi pada Khamis lalu.

Manakala lima lagi termasuk seorang difahamkan merupakan anak kepada pemimpin utama syarikat terbabit ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah kira-kira pukul 6 petang, 18 September lalu dengan reman mereka juga tamat hari ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.

Terbaharu, PDRM mendedahkan sebanyak 280 premis berkaitan syarikat GISBH diserbu di seluruh negara menerusi fasa empat Op Global sejak Sabtu lalu.

Pemeriksaan mendapati sebanyak 59 premis mempunyai penghuni, manakala 221 premis lagi kosong selepas ahlinya dipercayai melarikan diri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 156 orang terdiri daripada 80 lelaki dan 76 wanita ditangkap, manakala 187 mangsa diselamatkan.

Mengikut pecahan, mereka berusia 18 hingga 30 tahun yang ditahan seramai 55 orang, 31 hingga 50 tahun (53), 50 hingga 65 tahun (32) dan 65 tahun ke atas (16).

“Polis menyelamatkan 187 mangsa iaitu 100 lelaki dan 87 perempuan melibatkan kanakkanak bawah lima tahun seramai 59 orang, enam hingga 12 tahun (75), 13 hingga 17 tahun (40) dan 18 tahun ke atas (13),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI