LUMUT – Polis menahan dua lelaki dan merampas 1.14 kilogram (kg) dadah jenis heroin di kawasan Taman Acheh Jaya, Sitiawan, dekat sini malam semalam.
Dalam tangkapan kira-kira pukul 8.45 malam itu, tiga paket plastik dadah bernilai kira-kira RM56,950 ditemui dalam kereta yang dinaiki kedua-dua lelaki berusia 29 dan 30 tahun itu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semua dadah itu dipercayai untuk diedarkan bagi pasaran tempatan.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menahan dua lelaki tersebut selepas memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa polis kepada kedua-dua suspek.
“Polis telah membuat pemeriksaan dalam sebuah kereta Myvi yang terletak di kawasan tersebut dan menjumpai tiga bungkusan plastik lutsinar berisi bahan-bahan disyaki dadah heroin dalam kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dan saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine atau syabu.
Katanya, semakan mendapati seorang suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau masing-masing satu kes jenayah dan dadah manakala seorang lagi memiliki lima kesalahan lampau iaitu dua kes jenayah dan tiga kes dadah.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.-K! ONLINE