JOHOR BAHRU – Situasi banjir di negeri ini setakat pukul 8 malam tadi menunjukkan Johor Bahru menunjukkan penurunan menjunam manakala jumlah mangsa Kota Tinggi terus meningkat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, mangsa banjir di Johor Bahru mencatatkan penurunan mendadak kepada 72 mangsa daripada 24 keluarga setakat ini.
Katanya, jumlah itu mencatatkan pengurangan ketara berbanding 208 mangsa daripada 62 keluarga pada pukul 4 petang tadi.
Tambahnya, hanya sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuo Kuang, di sini yang dibuka sejak Sabtu lalu.
“Bagi di Kota Tinggi, jumlah mangsa banjir yang direkodkan ialah 2,707 mangsa banjir daripada 680 keluarga setakat ini.
“Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 2,661 daripada 665 keluarga yang direkodkan pada 4 petang tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.-K! ONLINE