fbpx

Bekas juara dunia masih ada peluang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON (kiri) dan Wooi Yik akan kembali turun gelanggang dengan menyertai Terbuka Arctic bermula 8 Oktober nanti. - AFP

PELUANG masih belum tertutup buat beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melayakkan diri ke Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir 2024 biarpun tidak menyertai beberapa kejohanan terdahulu.

Wooi Yik kini sudah kembali menjalani latihan penuh dalam persediaan menghadapi Kejohanan Badminton Terbuka Arctic di Finland dari 8 hingga 13 Oktober depan selepas berehat beberapa minggu akibat kecederaan retak jari kanan.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Dunia (BWF), Rexy Mainaky percaya bekas juara dunia itu masih berpeluang untuk menyertai kejohanan terakhir Siri Jelajah Dunia BWF (Persekutuan Badminton Dunia) di Hangzhou, China nanti.

Sekiranya mampu melangkah jauh atau muncul juara dalam mana-mana kejohanan disertai selepas ini, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu dijangka memperbaiki ranking kelayakan ke Jelajah Dunia Akhir.

“Wooi Yik sudah kembali menjalani latihan seperti biasa dan apa yang perlu ditekankan adalah mendapatkan semula rentak kejohanan. Dia sudah hampir dua minggu tidak memegang raket, mungkin ada berubah sedikit motivasi.

“Jelajah Dunia Akhir kalau tidak layak tidak mengapa, tahun depan masih ada. Bagaimanapun, jika menang kejohanan-kejohanan selepas ini, termasuk Terbuka Arctic, masih ada peluang (layak),” katanya ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara semalam.

Berdasarkan ranking Jelajah Dunia BWF dikemaskini semalam, Aaron-Wooi Yik berada di kedudukan ke-15, masih jauh dengan kelompok lapan terbaik yang menjadi syarat kelayakan ke Jelajah Dunia Akhir.

Ketika ini, juara Terbuka China, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun berada dalam kedudukan terbaik untuk layak apabila masing-masing menghuni ranking kelima serta ketujuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI