KUALA LUMPUR – Tuah terus memihak beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang baru sahaja mencipta kejayaan manis merangkul gelaran Super 1000 Terbuka China baru-baru ini.
Apa tidaknya, pasangan dengan gelaran ‘DinFei’ dalam kalangan peminat-peminat badminton tanah air itu berjaya memecah masuk kelompok 10 terbaik dunia daripada kedudukan ke-12 sebelum ini apabila melonjak empat anak tangga untuk berada di ranking No. 8 dunia.
Ia sekali gus menyaksikan impian mereka mencapai sasaran berada dalam kelompok lima beregu terbaik dunia semakin hampir untuk direalisasikan tidak lama lagi.
Bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik masih kekal beregu terbaik negara apabila kemas kini terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini menyaksikan ranking mereka tidak berubah di kedudukan ke-5 dunia.
Turut mencuri tumpuan adalah beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai apabila naik dua anak tangga ke kedudukan No. 10 dunia susulan kejayaan mereka muncul naib juara Terbuka China baru-baru ini.
Soon Huat-Shevon kekal sebagai beregu campuran kedua terbaik negara kerana kedudukan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di ranking kesembilan dunia.
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah juga mengekalkan kedudukan mereka sebagai No. 8 dunia, manakala perseorangan profesional wanita, Goh Jin Wei jatuh ke tangga ke-37 dunia.
Turut mengalami kejatuhan ranking ialah pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Lee Zii Jia apabila turun dua anak tangga daripada No. 3 perseorangan lelaki ke No. 5 dunia. – KOSMO! ONLINE