LIVERPOOL – Liverpool meraikan majlis penerimaan trofi kejuaraan buat pertama kali sejak 30 tahun dengan penuh bergaya sebagai juara baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menewaskan Chelsea di Anfield awal pagi tadi.
Legenda The Reds, Sir Kenny Dalglish diberi penghormatan untuk menyampaikan piala kejuaraan tersebut kepada kapten Liverpool, Jordan Henderson di atas pentas khas di stadium tanpa penonton.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, Henderson, Dalglish serta polis Merseyside telah meminta para penyokong hanya meraikan kejayaan tersebut di rumah masing-masing bagi mengelak risiko wabak Covid-19.
Terdahulu, Liverpool menewaskan Chelsea 5-3 dalam aksi penuh bergaya sebelum acara penyampaian trofi kejuaraan EPL berlangsung sebaik tamat perlawanan.
Naby Keita, Trent Alexander-Arnold dan Georginio Wijnaldum masing-masing menjaringkan gol untuk meletakkan Liverpool kelebihan 3-0 sebelum Olivier Giroud menyumbat satu gol pada minit akhir separuh masa pertama menjadikan kedudukan 3-1.
Memasuki babak kedua, penyerang Liverpool, Roberto Firmino berjaya menjarakkan semula kedudukan dengan jaringan 4-1, namun Chelsea tidak berputus asa apabila menambah lagi dua gol menerusi Tammy Abraham dan Christian Pulisic mejadikan kedudukan 4-3.
Strategi Klopp memasukkan Alex Oxlade-Chamberlain bagi menggantikan Mohamed Salah membuahkan hasil apabila pemain tengah itu melengkapkan kemenangan bergaya The Reds dengan jaringan kelima pada minit ke-84.
Sementara itu, Chelsea masih memerlukan mata untuk mengesahkan tempat untuk Liga Juara-Juara musim depan dengan aksi terakhir menentang Wolves pada Ahad ini. – K! ONLINE