fbpx

PdPR dilaksanakan kepada murid terjejas banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina melihat beberapa murid mencuba alatan sains pada program tersebut.

KUALA SELANGOR- Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kepada murid yang tidak dapat ke sekolah akibat berlakunya banjir di kawasan mereka.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ini bagi membolehkan pembelajaran murid berkenaan dapat diteruskan dalam apa jua sekalipun seterusnya mengelakkan mereka tercicir dalam pelajaran.

“Murid yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan mengikuti pembelajaran secara atas talian yang akan dibuat oleh guru mereka.

“Jadi, banjir bukan penghalang bagi anak-anak kita meneruskan pembelajaran mereka. KPM sentiasa bersedia membantu mereka untuk apa-apa keadaan sekalipun,” katanya selepas menghadiri program Powering Knowledge Steam Hub di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Tanjong Karang, di sini, hari ini.

Selain PdPR, kata Fadhlina, KPM turut menubuhkan dua pasukan, iaitu pasukan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) untuk membantu memberikan bantuan psikososial dan kaunseling kepada murid di pusat berkenaan.

“Ahli SST dan AST terdiri daripada guru serta staf KPM yang mempunyai kepakaran dalam aspek psikososial dan kaunseling untuk membantu murid-murid ini.

“Selain bantuan, mereka akan memastikan murid melakukan PdPR yang dibuat guru mereka di PPS yang mereka berada,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI