PETALING JAYA – Pelakon Lia Natalia reda dengan hakikat selepas perkahwinan yang sepatutnya dibina pada Disember lalu dengan jejaka pilihannya tidak menjadi kenyataan.
Pemilik nama lengkap Alia Afiqah Abden, 29, memberitahu, meskipun pada awalnya pedih untuk menerima kenyataan hubungan dengan jejaka yang dikenali sejak Januari 2020 itu musnah, namun dia yakin Tuhan telah mengatur yang sebaiknya.
Bagaimanapun, dia tidak sesekali akan mendedahkan punca sebenar perkahwinan yang sepatutnya dibina pada Disember lalu musnah.
“Keputusan pembatalan majlis perkahwinan itu telah dibuat sejak November lalu tetapi saya tidak mahu hebohkan ketika itu sebab enggan dicop mahu jaja kisah sedih.
“Saya juga tidak akan dedahkan punca kerana tidak mahu membuka aib mana-mana pihak, biarlah saya dan ahli keluarga sahaja yang tahu.
“Biarpun jauh di sudut hati saya memang terkilan sebab 70 peratus persiapan perkahwinan sudah disiapkan, tetapi saya perlu kuat. Kumbang bukan seekor,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Kongsi Lia, dia terkilan kerana segala persiapan sudah hampir siap sepenuhnya termasuk penggambaran pra-perkahwinan yang dijalankan di Langkawi, Kedah pada September lalu.
“Semuanya termasuklah tempahan lokasi, barang hantaran dan tiket penerbangan.
“Namun, akhirnya tak jadi kahwin. Saya reda dengan ujian ini dan menganggap apa yang berlaku tiada jodoh di antara kami. Doakan yang baik-baik untuk saya,” ujarnya yang enggan mendedahkan calon suaminya itu.
Ujar pelakon drama Bukan Gadis Biasa itu, dia bersyukur kerana dikurniakan ahli keluarga yang kini berada di Tawau, Sabah sentiasa memahami dan menyokong setiap keputusannya.
“Awalnya memang terkejut ketika saya beritahu hendak batalkan perkahwinan sebab mereka sangat teruja saya mahu tamatkan zaman bujang kerana saya anak bongsu.
“Apa yang terjadi ini juga saya jadikan pengajaran supaya tidak lagi terlalu terburu-buru dalam membuat keputusan dan perlu mengenali hati budi seseorang dengan lebih mendalam sebelum mendirikan rumah tangga,” jelasnya.
Ujarnya, untuk tahun 2021, dia tidak mahu terlalu memikirkan soal jodoh dan cinta malah ingin memberi fokus 100 peratus terhadap karier seni.