fbpx

[VIDEO] Saya angkat dia dah terkulai – Ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Amirul Hazlin (gambar kecil kanan) dan Nur Afiqah Sofea (gambar kecil kiri) disahkan meninggal dunia selepas merempuh roro yang ditinggalkan di laluan kecemasan.

MELAKA – “Saya nampak sendiri kedua-dua anak terpelanting selepas merempuh roro yang ditinggalkan di laluan kecemasan. Saya angkat anak bongsu, tetapi dia sudah terkulai.”

Demikian kata Norizan Ujak, 40, berhubung kejadian menimpa dua anaknya iaitu Muhammad Amirul Hazlin, 18, dan Nur Afiqah Sofea, 5, yang maut ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

Dua beradik itu mengalami kecederaan parah selepas motosikal yang mereka tunggang merempuh kontena sampah pukal roro di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhampiran Stadium Hang Jebat di sini.

Menurut Norizan, ketika kejadian, dia dan anaknya menunggang motosikal berasingan untuk menziarahi kubur arwah suaminya, Hazlin Hassan yang meninggal dunia 10 bulan lalu di Tanah Perkuburan Islam Bertam Hulu.

“Mereka (mangsa) di depan, manakala saya pula berada di belakang. Mata saya nampak Along (nama panggilan Muhammad Amirul) rempuh roro, memang tidak sempat nak elak, di lorong kanan pula ada lori.

“Saya nampak dia terpelanting, saya hanya mampu menjerit ‘Ya Allah anak aku’. Saya angkat anak bongsu, tetapi dia dah terkulai, tangan dan kakinya patah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Jabatan Kecemasan, Hospital Melaka, malam tadi.

Wanita itu merayu pihak bertanggungjawab supaya mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak kontraktor yang meninggalkan roro di lorong kecemasan bagi kerja-kerja pemotongan pokok.

“Saya minta ambil tindakan sebelum orang lain pula terkena (jadi mangsa). Selesai kerja angkat terus roro, jangan dibiarkan di tepi jalan kerana ketika kejadian tiada pekerja di situ bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Disebabkan kecuaian mereka, saya hilang dua anak serentak. Selepas ziarah kubur kami merancang untuk makan malam di kedai kerana Along baru baik demam, tapi tidak sangka pula berakhir dengan kejadian begini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI