PETALING JAYA – Selepas 15 tahun berstatus ibu tunggal, pelakon Rita Rudaini sekali lagi menekankan pendirian tidak akan berkahwin lagi demi anak-anak.
Tidak juga berasa sunyi, Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mokhtar, 48, bertegas tujuan atau matlamat hidupnya sekarang adalah membesarkan dua anak bujangnya, Airit Rayyan Rizqin, 15, dan Airit Qada Arjuna, 13, dengan sebaik mungkin.
“Saya pernah cakap dengan anak yang saya korbankan diri yang mana saya tak akan berkahwin sebab nak tengok Ryan dan Arjuna membesar depan mata dengan elok.
“Kalau orang tanya tak sunyi ke? Tak sunyi pun sebab kat rumah pun ada tujuh ekor kucing.
“Saya lebih bahagia dapat besarkan anak-anak sendirian tanpa ada gangguan mental,” katanya.
Tegas pelakon filem Mami Jarum itu lagi, anak-anak tidak pernah mengeluh kurang kasih sayang walaupun membesar tanpa kehadiran figura seorang bapa.
“Sebab apa kena ada (peneman)? Apa yang disusun (ada sekarang), kita lalui sahaja. Satu masa kalau Tuhan kata: Okey ini hang punya, Dia bagi hadiah. Kita ambil, takkan nak tolak kan.
“Nak kata kurang kasih sayang, buat perangai tiada pula. Orang saja yang melebih.
Buat masa sekarang, Rita lebih selesa hidup tiga beranak dan tidak merancang untuk berumah tangga atau menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki.
“Okey je saya di rumah elok duduk bahu letak bantal, tengok Netflix terus lena.
“Saya dah penat tapi penat yang jenis happy (menggembirakan). Hantar anak ke maktab (sekolah) sendiri, saya seronok je sebab itu adalah kenangan kami bersama,” katanya.
Terbaharu, Rita Rudaini diangkat sebagai penerima Anugerah Ibu Ikon sempena Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2024/2025. – KOSMO! ONLINE