TANJUNG MALIM – Hujan berterusan sepanjang hari sejak awal pagi semalam telah menyebabkan beberapa ban atau tebatan banjir pecah sehingga menyebabkan kejadian banjir di Hilir Perak dan Muallim hari ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, hujan lebat berterusan menyebabkan arus air menjadi deras sehingga ban tersebut tidak dapat menampung kapasiti air yang banyak seperti yang berlaku di Sungai Slim dan Sungai Bidor di sini.
“Apabila hujan lebat dalam tempoh masa yang lama iaitu sebelum Subuh lagi hujan sudah turun, ia menyebabkan air menjadi banyak dan arus bertambah deras menyebabkan beberapa ban di sungai pecah.
“Kita telah berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai ban pecah ini. Tidak dapat tidak JPS kena baikinya semula selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Pejabat Kemas Muallim di sini hari ini.
Tambah Saarani, peranan JPS dalam membina ban bagi menangani masalah banjir di kawasan tersebut berhasil memandangkan kali terakhir banjir berlaku adalah pada tahun 1971.
“Sebenarnya apa yang dibuat JPS sebelum ini adalah pelan jangka masa panjang untuk menangani masalah banjir dan ia berhasil. Namun pada kali ini ia di luar dugaan kita,” katanya.
Saarani turut menasihatkan mangsa banjir agar mematuhi segala arahan pihak berkuasa terutamanya dalam aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara memandangkan pandemik Covid-19 masih menular di dalam negara.
Di PPS Pejabat Kemas Muallim, seramai 284 penduduk daripada 74 keluarga ditempatkan sejak petang semalam selepas banjir melanda kediaman mereka.
Banjir turut menyebabkan dua daerah lain terjejas iaitu di Kampar dan Sungai Siput dengan keselurahan mangsa di seluruh Perak berjumlah 1,010 penduduk dipindahkan.