KAPIT – Insiden seorang anggota tentera dari formasi 9 Briged, Sibu yang meninggal dunia setelah terkena tembakan yang tidak dikenal pasti pada awal pagi tadi, berlaku ketika sedang melaksanakan Eksesais Pasak Bumi (EPB) Batalion Ke-13 Tejimen Renjer Diraja.
Mengesahkan kejadian itu, Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia berkata anggota dari formasi 9 Briged, Sibu itu sedang melaksanakan latihan di kawasan am Song, di sini bermula pada 21 hingga 29 September ini melibatkan kawasan am Kanowit – Nanga Dap – Song dan berkekuatan satu Kompeni.
“Pada 23 September 2024 (hari kedua latihan) kira-kira pukul 2.45 pagi, sewaktu sedang berehat (berlabuh), Platun telah mendengar bunyi motosikal melalui jalan tidak berturap (jalan balak) berdekatan lokasi mereka berlabuh.
“Secara tiba-tiba, kedengaran bunyi tembakan yang dipercayai datang dari arah motosikal berkenaan.
“Curiga dengan tembakan tersebut, pemeriksaan perimeter dilaksanakan serta merta dan mendapati seorang anggota telah cedera akibat tembakan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menjelas lanjut, kenyataan itu berkata anggota terbabit telah diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song pada pukul 4 pagi.
“Seterusnya anggota telah dirujuk ke Hospital Kapit untuk rawatan lanjut kira-kira pukul 5 pagi namun disahkan meninggal dunia pada pukul 7.43 pagi di akibat kecederaan yang dialami,” katanya.
Justeru, katanya satu laporan polis telah dibuat dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melaksanakan siasatan.
Kenyataan itu menambah, rancangan pengurusan jenazah akan disempurnakan selepas proses bedah siasat selesai.
“Pihak waris yang berada di Sarikei, Sarawak telah dimaklumkan dan lokasi pengebumian akan dimaklumkan kemudian,” katanya. – KOSMO! ONLINE.