fbpx

Op Global: Polis selamatkan empat beradik jadi mangsa dera ahli GISBH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan kanak-kanak dirotan, dipijak tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelamatkan empat adik-beradik dipercayai didera ahli GISB Holdings (GISBH) menerusi Fasa 4 Op Global yang bermula 21 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mereka yang berusia enam hingga 11 tahun itu diselamatkan di Tapah, Perak.

Katanya, polis mendapati keempat-empat kanak-kanak yang diselamatkan itu terpisah dengan bapa mereka sejak tahun 2021.

“Siasatan polis mendapati salah seorang kanak-kanak tersebut merupakan individu tular yang dirotan oleh ahli GISBH,” katanya pada sidang media khas di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Razarudin memberitahu, seorang lagi kanak-kanak yang tular dipercayai menjadi mangsa penderaan akibat dipijak turut diselamatkan oleh pihak berkuasa.

Tambah beliau, mangsa kini berada dalam jagaan pihak hospital dan ditempatkan di wad pediatrik untuk pemeriksaan lanjut.

Polis menyiasat kedua-dua kes itu di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Semua suspek yang terlibat telah direman untuk membantu siasatan.

“Pemeriksaan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan turut mendedahkan bahawa mangsa yang diselamatkan itu mengalami kesan penganiayaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI