fbpx

Op Global: 280 premis diserbu PDRM di Fasa 4

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah restoran milik GISBH di Alor Setar yang didapati tutup sejak beberapa hari lalu.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 280 premis berkait GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) diserbu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Fasa 4 OP Global yang bermula pada 21 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak 59 premis diserbu dengan memperoleh tangkapan dan rampasan.

“Sebanyak 221 premis pula didapati telah dikosongkan dipercayai ahli GISBH telah melarikan diri.

“Melalui Fasa 4 ini, seramai 156 individu terdiri daripada 80 lelaki dan 76 wanita telah ditangkap manakala seramai 187 mangsa berusia 18 tahun ke bawah diselamatkan,” katanya ketika sidang akhbar di Pulapol Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurut beliau, kesemua tangkapan yang dilakukan hanya melibatkan individu yang berusia 18 hingga 30 tahun (55), 31 hingga 50 tahun (53), 50 hingga 65 tahun (32) dan 65 tahun ke atas (16).

“PDRM turut menyelamatkan 187 orang mangsa terdiri daripada 100 lelaki dan 87 wanita yang mana bawah lima tahun (59), enam hingga 12 tahun (75),13 hingga 17 tahun (40) dan 18 tahun ke atas (13).

“Kesemua mangsa sedang menjalani saringan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Setelah proses saringan kesihatan telah selesai, mangsa akan diserahkan kepada JKM,” ujarnya.

Melalui serbuan pada Fasa 4 OP Global ini, PDRM bersama Jakim merampas 455 unit naskah, risalah dan logo; telefon bimbit (90), komputer (16), haiwan (26), kenderaan (13) dan wang tunai (RM904).

“Tindakan pembekuan di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) dan penyitaan di bawah Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) telah dilakukan oleh Pasukan Siasatan Jenayah
Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman.

“Jumlah terkini keseluruhan Pembekuan di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) adalah sebanyak 153 akaun dengan pecahan terdiri daripada 138 akaun dengan jumlah RM882,795.94 dan 15 akaun telah ditutup.

“Selain itu, sebanyak 22 buah kenderaan pelbagai jenis bernilai anggaran RM1,872,085 dan 14 lot hartanah telah dijalankan tindakan pembekuan,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, tindakan penyitaan terhadap 16 buah kenderaan (RM2.07 juta); 26 ekor haiwan (9 ekor kuda, 14 ekor arnab dan tiga ekor burung merak); wang tunai RM18,650 dan dua utas jam jenama Amazfit RM600 dijalankan di bawah Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613). -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI