fbpx

KDN FC tetap positif biarpun dibelasah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KDN (jersi merah) terpaksa akur dengan jurang kehebatan dimiliki JDT ketika tewas teruk 1-6 di Stadium Sultan Ibrahim semalam. - RAJA JAAFAR ALI

WALAUPUN tewas 1-6 di tangan penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), penolong ketua jurulatih Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Rezal Zambery Yahya menyifatkan ada perkara positif boleh diambil bagi meneruskan perjuangan liga.

Menurutnya, pemain yang diturunkan termasuk beberapa muka baharu menjalankan tugas dengan baik pada babak pertama dengan merantai pergerakan Harimau Selatan sehinggalah tempoh lima minit terakhir apabila gawang Kijang Emas dibolosi dua gol.

Katanya, perancangan yang dicatur terkandas setelah pemain tampak keletihan dan mula hilang fokus setelah diasak dan diserang bertubi-tubi hingga membuka ruang buat lawan mencipta jaringan.

“Kita boleh mencipta jaringan dan membuat gerakan berbahaya ke kubu lawan. Pemain import baharu, Washington Dos Santos juga tampak meyakinkan dan lebih baik daripada import yang lepas.

“Sudah tentu yang negatif kita akan perbaiki lagi tapi aspek positif ini kita kena ambil kira juga. Ada yang positif ditunjukkan pemain malam ini akan kita tingkatkan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Rezal Zambery berkata, pasukan membuat keputusan untuk ‘menyimpan’ dua import iaitu Oday Kharoub dan Michal Jerabek untuk diturunkan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat ini.

“Dua import ini sudah mengutip dua kad kuning dan kita khuatir mereka akan dilayangkan satu lagi kad kuning menentang JDT yang menyebabkan terlepas aksi di Paroi.

“Hasil perbincangan dengan ketua jurulatih Park (Jae-hong), kami tidak mahu ambil risiko dan merasakan ada beberapa pemain yang perlu kita simpan untuk pertemuan menentang NSFC nanti,” jelasnya.

Meskipun merekodkan enam kekalahan berturut-turut dan hanya mencatat satu kemenangan, penolong jurulatih berusia 45 tahun itu optimis KDN mampu keluar daripada kedudukan tercorot.

“Kita masih yakin dapat memanjat carta liga selangkah demi selangkah. Masih ada banyak aksi lagi, 14 perlawanan secara keseluruhan dan kita harap dapat bangkit menentang NSFC nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI