MANCHESTER – Selepas tiga mata ‘dicuri’, hati peminat-peminat Arsenal sekali lagi dirobek apabila pemain tengah Manchester City, Bernardo Silva mula memperlekehkan The Gunners yang disifatkan tidak mampu menjulang apa-apa trofi.
Kemarahan peminat The Gunners makin membara apabila Silva membandingkan kelab itu dengan Liverpool yang sudah pun mampu memenangi trofi ketika di bawah kendalian Jurgen Klopp sebelum ini.
Bintang dari Portugal itu turut meminta Arsenal belajar sesuatu daripada The Reds yang dianggap memiliki kemahuan dan corak permainan berbeza.
“Kenapa saya katakan ia berbeza? Saya tidak pasti, mungkin kerana Liverpool sudah pun memenangi Liga Perdana Inggeris, manakala Arsenal belum lagi.
“Liverpool juga menang Liga Juara-Juara Eropah, jadi dari sudut itu, Liverpool sentiasa menentang kami secara ‘bersemuka’. Perlawanan menentang Arsenal tidak akan pernah sama seperti kami menentang Liverpool,” katanya.
Pada aksi semalam, jaringan lewat permainan John Stones menafikan hasrat Arsenal untuk meraih tiga mata dan terpaksa akur dengan keputusan seri 2-2.
Tidak hanya itu, kehangatan perlawanan turut dibayangi satu layangan kad merah dan berlaku pertengkaran di kalangan pemain sejurus wisel penamat dibunyikan.
“Hanya ada satu pasukan yang mahu bermain bola sepak tetapi satu lagi pasukan meletakkan had ketika bermain dan ia dibenarkan oleh pengadil.
“Kami tidak gembira kerana kami mahukan tiga mata tetapi secara peribadi saya gembira dengan cara kami bermain,” jelas Silva. – KOSMO! ONLINE