fbpx

BHPetrol labur RM45 juta, bina 10 stesen minyak luar bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) dan Mohamed Khaled (empat kanan) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara agensi KKDW bersama BHPetrol di Hotel Marriot Putrajaya hari ini.- Foto oleh FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA- Syarikat subsidiari di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holding Berhad, BHPetrol bersetuju melabur sebanyak RM45 juta bagi pembinaan 10 stesen minyak di kawasan luar bandar.

Persetujuan itu diputuskan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara BHPetrol dan lapan agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi pembinaan stesen minyak seperti di Pahang, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut Ahmad Zahid, KKDW sentiasa berusaha mengurangkan jurang antara desa dan bandar bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif.

“Kawasan luar bandar di Malaysia sering dicirikan oleh tahap infrastruktur rendah, akses terhad serta jurang pembangunan ketara
berbanding kawasan bandar.

“Mempercepatkan pertumbuhan ekonomi desa amat penting kerana ia mempengaruhi pembangunan negara dan kesejahteraan sosial secara keseluruhan. “ katanya pada Majlis MoU Antara Agensi KKDW dan BHPetrol di sini tadi.

Katanya, usaha pembangunan luar bandar tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan semata-mata tanpa kerjasama dengan pelbagai pihak seperti syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.

⁠”Oleh itu, saya ingin mengucapkan syabas kepada BHPetrol atas kepedulian mereka terhadap masyarakat luar bandar melalui usahasama dengan agensi KKDW dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

“⁠Inisiatif terbabit bukan sahaja memacu teknologi di kawasan setempat, tetapi turut memberi peluang kepada usahawan desa untuk memasarkan produk mereka, sekaligus meningkatkan pendapatan” katanya.

Pada majlis itu juga, Ahmad Zahid turut menyaksikan penyerahan surat niat daripada BHPetrol kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi penempatan produk kecil sederhana di 300 kedai serbaneka BHPetromart seluruh Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI