KUALA LUMPUR – Mengejutkan penonton yang memenuhi Axiata Arena Bukit Jalil, persembahan penyanyi Ernie Zakri meraih pujian kumpulan pop rock Amerika Syarikat, Lany yang mengundangnya sebagai artis jemputan, malam tadi.
Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, berpadu suara dengan vokalis popular tersebut, Peter Klein mendendangkan lagu Out of My League .
“Anda memang hebat,” luah Klein sebaik penyanyi berusia 32 tahun itu selesai beraksi, sekali gus mengundang sorakan 8,000 penonton.
Walaupun hanya berduet membawakan sebuah dendangan, kemunculan Ernie dalam konsert Lany A Beautiful Blur: The World Tour yang cukup bertenaga turut dipuji ramai.
Malaysia menjadi antara destinasi persinggahan jelajah dunia band yang ditubuhkan pada 2014 itu selain Indonesia, Thailand, Taiwan
Filipina, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan Thailand.
Malam tadi mereka beraksi lebih dua jam tanpa henti menyampaikan lebih 20 seleksi lagu hitas termasuk Congrats, Love at First Side, Hericane dan Good Girls.
Sementara itu, hari ini Ernie mengumumkan bakal mengadakan konsert pertamanya, Aura: Ernie Zakri Live in Concert pada 25 Januari tahun depan.
Menurutnya, penganjuran persembahan mega solo yang bakal berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) adalah berkat doa peminat.
“Saya ibu, saya isteri, saya Ernie Zakri. Mungkin ini adalah doa – doa peminat yang mahukan saya untuk megadakan konsert pertama saya.
“Selepas sekian lama menunggu, saya ingin mempersembahkan konsert pertama saya, Aura: Ernie Zakri Live in Concert khas untuk semua yang tersayang,” ujarnya.
Ernie dalam perkongsian di Instagram turut mengumumkan konsert sulungnya itu dianjurkan SAH Entertainment.
Hampir 15 tahun mengukuhkan nama dalam dunia muzik tanah air, konsert berkenaan merupakan detik ditunggu-tunggu penyanyi terbabit. – KOSMO! ONLINE