fbpx

Individu terlibat ajaran kesinambungan Al-Arqam perlu taubat – Mufti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Sukki

GEORGE TOWN – Individu yang terlibat dengan fahaman dan ajaran daripada kesinambungan Al-Arqam di negara ini haruslah bertaubat dan segera kembali ke pangkal jalan.

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, siasatan menyeluruh akan dilakukan dengan adil bagi melihat sama ada ajaran dan kepercayaan dalam GISB Holdings Sdn. Bhd., (GISBH) adalah benar-benar merupakan kesinambungan daripada ajaran Al-Arqam dan Rufaqa.

“Mereka yang terlibat dengan fahaman dan ajaran yang berkesinambungan daripada Al-Arqam perlu bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

“Masyarakat juga perlu sama-sama membantu sesiapa sahaja yang terperangkap dalam ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam untuk kembali ke pangkal jalan,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.

Mengulas mengenai keputusan Jawatankuasa fatwa Pulau Pinang berhubung ajaran dan kepercayaan dalam GISBH, beliau memberitahu, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan tentang perkara tersebut.

“Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada 31 Oktober 2006 telah membincangkan berkenaan usaha-usaha menghidupkan semula Arqam melalui Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. (SRC) Dan Rangkaian Syarikat Gabungannya.

“Mesyuarat memutuskan bahawa ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa dan dipegang oleh ahli jamaah (SRC) dan rangkaian syarikat gabungannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam. Keputusan ini telah diwartakan,” ujarnya.

Kelmarin, sebanyak empat premis termasuk dua rumah jagaan yang dipercayai berkaitan GISBH di sekitar Seberang Perai di sini diserbu dalam satu operasi khas.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mohammad Abdul Hamid berkata, serbuan dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, keempat-empat premis yang diserbu adalah Rumah Jagaan Harapan Al Mahabbah di Nibong Tebal, Rumah Permata Kasih Taman Seri Mengkuang (Pusat Jagaan Kanak-Kanak) Kubang Semang, Kedai Kek Dan Roti Ikhwan dan Ikhwan BP Mart di Bandar Perda.

“Hasil serbuan ke lokasi terbabit, pihak JHEAIPP telah merampas enam buah kitab atau buku yang disyaki berkaitan dengan Al-Arqam yang mana buku-buku ini telah diharamkan,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI