GUA MUSANG – Jabatan Perangkaan (DOSM) mendapati masyarakat Orang Asli mulai berani memanfaatkan penggunaan teknologi dalam memasarkan hasil pertanian mereka.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, dapatan itu diperoleh menerusi Banci Pertanian 2024 yang sedang dilaksanakan oleh agensi berkenaan ketika ini.
Menurutnya, Orang Asli sebelum ini dilihat hanya bergantung penuh kepada pertanian sara diri.
“Dengan adanya liputan internet di kebanyakan kawasan pedalaman, mereka dapat mengakses maklumat berkaitan pertanian.
“Kita dapati Orang Asli mempunyai kecekapan dalam menentukan harga yang sesuai dengan hasil yang diperoleh,” katanya selepas mengadakan lawatan ke kawasan perusahaan ikan kelah di Kampung Lepan Jaya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir memberitahu, pihaknya berharap masyarakat Orang Asli dapat mengusahakan tanaman secara mampan dalam jangka masa yang panjang. – KOSMO! ONLINE