fbpx

Liga Super: Bergson ledak hatrik bantu JDT benam KDN FC 6-1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERGSON diraikan rakan sepasukan sebaik menjaringkan gol kedua pada perlawanan menentang KDN FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini. -Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

ISKANDAR PUTERI – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan tugas sukar menewaskan pasukan tercorot, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 6-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Ayam tambatan JDT, Bergson Da Silva muncul wira apabila meledak hatrik, jaringan hatrik ketiga musim ini dan yang ke-11 ketika menyarung jersi Harimau Selatan.

Gol pertama yang diburu JDT hadir minit ke-42 apabila hantaran silang Nazmi Faiz ke dalam kotak penalti berjaya disambut Bergson sebelum melakukan rembatan deras dari jarak dekat.

Sebelum tamat babak pertama, Bergson menggandakan jaringan yang berpunca daripada gerakan hantaran pendek antara Morales dan Fernandes sebelum penyerang kelahiran Brazil itu mengumpan bola kepada rakan senegaranya bagi mencipta jaringan pada minit ke-45.

Bersambung babak kedua, Arif Aiman yang memukau pada aksi Liga Juara Asia Elit (ACLE), Rabu lalu berjaya memahatkan nama dalam senarai penjaring setelah memanfaatkan hantaran Enzo dengan melepaskan rembatan lerek melepasi jangkauan penjaga gawang pada minit ke-55.

Tiga minit berselang, pemain sayap itu menambah gol peribadinya setelah menerima lorongan bola Fernandes dari tengah padang dan mudah mengatasi Fikri bagi menambah derita KDN FC pada minit ke-58.

Kegembiraan kem Harimau Selatan tersentak setelah pasukan tercorot liga itu mencipta jaringan menerusi Layth Kharoub pada minit ke-65 setelah rembatan rendahnya gagal diselamatkan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Jaringan tersebut tidak merencatkan permainan JDT apabila Bergson melengkapkan jaringan hatrik pada minit ke-71 apabila mudah menolak masuk hantaran silang Arif Aiman.

KDN FC terus dirundungkan malang apabila gawang dibolosi kali keenam pada perlawanan itu menerusi jaringan sendiri setelah Umeir Aznan tertanduk ke gawang sendiri pada minit ke-75.

Kemenangan tersebut menyaksikan JDT terus gah di persada Liga Super manakala nasib berbeza dialami KDN FC yang merekodkan enam kekalahan berturut-turut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI