LONDON – Chelsea terus ditimpa malang apabila tewas 1-3 kepada Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge awal pagi semalam.
Kekalahan itu sekali gus menjadikan masa depan pengurus, Frank Lampard berada dalam keadaan tidak menentu, lebih-lebih lagi mencatat empat kekalahan dalam enam perlawanan terakhir.
Lampard percaya kekalahan itu meletakkan Chelsea berada dalam tekanan selain mengakui mereka perlu sedar dengan situasi yang dihadapi ketika ini.
“Saya tidak mahu tengok pemain-pemain berada dalam keadaan kecewa seperti ini. Saya perlu sedar dengan apa yang dihadapi sekarang ini walaupun ia sangat menyakitkan.
“Aksi separuh masa pertama sangat mengecewakan kerana City bermain dengan sangat baik. Kami cuba bangkit pada separuh masa kedua tetapi ia tidak mencukupi,” luah legenda Chelsea itu.
Ketika ditanya punca kekalahan tersebut, Lampard berkata, kesilapan berpasukan serta individu menyebabkan mereka gagal menyaingi kehebatan City.
“Kami banyak lakukan kesilapan, terutamanya individu selain tidak beri tekanan kepada mereka. Jika kami mahu berada sebaris dengan City, kami perlu bersedia untuk hadapi tekanan,” ujarnya lagi. – AGENSI