fbpx

[VIDEO] Op Global: Tiga anak Abuya diberi bon jaminan di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIGA anak bekas pengasas Al-Arqam diberikan bon jaminan sebanyak RM1,000 oleh Mahkamah Syariah Melaka, hari ini.

MELAKA – Mahkamah Tinggi Syariah Melaka hari ini membenarkan tiga anak lelaki bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad dilepaskan dengan bon jaminan sebanyak RM1,000 setiap seorang.

Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zin membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan permohonan dibuat oleh Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (JAIM).

Ia bagi membolehkan siasatan dilakukan oleh JAIM di bawah Seksyen 63 dibaca bersama Seksyen 62 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 atas kesalahan menghina dan mempersendakan agama Islam.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 10 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.

Kesemua mereka yang berusia 38, 42 dan 45 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Ayer Molek Perdana, Alor Gajah dalam Op Global dijalankan semalam.

Kosmo! semalam melaporkan seramai 11 individu ditahan, manakala 34 kanak-kanak diselamatkan dalam Op Global dilaksanakan di tiga daerah di negeri ini.

Sebanyak 19 premis dipercayai berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) diserbu termasuk rumah amal pertubuhan, kedai bakeri, retoran, kedai langsir, pasar mini, kilang memproses kuetiau dan pejabat pengurusan.

Dalam serbuan bermula pukul 5 pagi sehingga 5 petang itu, sejumlah 285 barang-barang kes termasuk 12 keping gambar Ashaari, 138 buah buku, 33 unit cakera padat dan diari berkaitan ajaran Al-Arqam yang telah diharamkan oleh Fatwa Negeri Melaka termasuk Aurad Muhammadiyah dirampas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut memaklumkan seramai 31 lagi ahli GISBH termasuk 17 individu yang memegang jawatan di organisasi tersebut berjaya ditahan.

Beliau berkata, kesemua individu terbabit ditahan dalam operasi bermula 18 September sekitar Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah (Sempadan Malaysia – Thailand).

“Tangkapan itu menjadikan jumlah tangkapan terkini seramai 200 orang, manakala seramai 139 suspek ditahan sebelum ini telah disambung reman dan 23 lagi diberi jaminan polis atas sebab-sebab tertentu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI