fbpx

Hatrik Najmi bantu Maybank muncul juara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAJMI (kanan) berada dalam kelas tersendiri apabila membantu Maybank menjuarai MIHL musim ini. - MHC

DOMINASI yang ditampilkan skuad hoki lelaki Maybank pada perlawanan akhir Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) menyaksikan pasukan itu muncul juara buat kali pertama selepas menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 4-1.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan IOI, Putrajaya semalam, skuad kendalian Iman Gobinathan itu menampilkan aksi cukup agresif dan nyata sukar digugat apabila meledak empat jaringan dalam tempoh 30 minit.

Lebih menakjubkan, tiga jaringan itu hadir menerusi pukulan sudut penalti (PC) yang disempurnakan kapten, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, manakala satu lagi gol dijaringkan Muhammad Izham Azhar.

Najmi yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir mengakui gembira apabila berjaya membantu Maybank memenangi MIHL buat kali pertama sejak ia mula dipertandingkan pada 2022.

“Alhamdulillah kami berjaya mendapatkan piala pada saingan tahun ini. Kedua-dua pasukan ada kekuatan masing-masing tetapi Maybank sudah memberikan segala-galanya pada perlawanan akhir hari ini (semalam).

“Memang kedua-dua pasukan ada peluang, namun sesiapa yang memanfaatkannya akan muncul sebagai pemenang. Saya seronok kerana rakan sepasukan memberikan kerjasama dari segi pertahanan dan serangan,” katanya.

Dalam pada itu, Najmi yang merupakan pemain kebangsaan menganggap Malaysia memiliki potensi cukup besar dalam sukan itu selain bersedia untuk membantu bagi mengembangkan hoki dalam dewan di seluruh negara.

“Liga kali ini sangat bagus dan saya rasa seronok apabila masuk pasukan hoki dalam dewan. Kami kena biasakan diri bagi membantu sukan ini naik kerana kita memiliki ramai bakat yang boleh bermain,” ujarnya.

Sementara itu, dalam kategori wanita, pasukan DBKL melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara buat kali ketiga berturut-turut selepas membenam cabaran Malacca Old Ladies menerusi kemenangan 4-2.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI