LONDON – Ketumpulan jentera serangan membawa padah buat Manchester United apabila mereka sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Selhurst Park awal pagi semalam.
United yang masih segar dengan kemenangan 7-0 ke atas Barnsley sewaktu pusingan ketiga Piala Liga Inggeris (EFL) pada Rabu lalu mempamerkan aksi cukup baik di separuh masa pertama apabila mencipta deretan peluang menjaringkan gol.
Bagaimanapun, dominasi yang ditunjukkan hanya sia-sia apabila mereka gagal melakukan sebarang jaringan susulan ketumpulan jentera serangan selain dinafikan kecekapan penjaga gol tuan rumah, Dean Henderson.
Pengurus United, Erik ten Hag meluahkan rasa kecewa atas kegagalan The Red Devils untuk membawa pulang tiga mata penting biarpun sudah melakukan 15 percubaan keseluruhan selain enam percubaan tepat.
“Saya tidak pernah gembira apabila kami gagal mencatat kemenangan. Kami sepatutnya pulang dengan tiga mata, terutamanya apabila kami mendominasi sepenuhnya perlawanan di separuh masa pertama.
“Kami sepatutnya menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol sebelum waktu rehat. Kami melepaskan dua mata penting, namun apa yang positif adalah kami tetap pulang dengan satu mata,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji penjaga gol, Andre Onana yang menunjukkan aksi cukup mengagumkan ketika menyelamatkan pintu gol United daripada dibolosi dua kali berturut-turut.
“Sukar untuk dipercayai, Andre (Onana) merupakan seorang penjaga gol yang sangat baik. Dia menafikan percubaan penyerang Brentford dua kali berturut-turut, satu aksi yang sangat cekap,” ujar Ten Hag. – AGENSI