fbpx

Hanya 7,334 suri rumah carum SKSSR Perkeso di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan Kotak Prihatin Perkeso kepada pencarum yang hilang keupayaan kekal akibat kemalangan sewaktu bekerja di Sungai Petani, hari ini.

SUNGAI PETANI – Bilangan suri rumah yang mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di negeri ini hanya 7,334 orang, setakat ini.

Pengarah Perkeso Kedah, Rak Boon Tan Rat berkata, daripada jumlah itu, seramai 6,301 pencarum merupakan tajaan kerajaan dan 1,033 pencarum lagi merupakan suri rumah yang mencarum sendiri bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.

Beliau berkata, cawangan Perkeso Sungai Petani merekodkan jumlah caruman tertinggi iaitu seramai 373 orang diikuti Perkeso Negeri Kedah sebanyak 367, Perkeso Kulim sebanyak 263 dan Perkeso Langkawi sebanyak 30 orang.

“Kalau boleh kita nak semua suri rumah mencarum SKSSR kerana walaupun pekerjaan mereka tidak formal tetapi mereka turut terdedah bahaya dan bencana domestik di rumah selain risiko mendapat penyakit yang menjejaskan keupayaan menguruskan rumah tangga.

“Oleh itu, pihak Perkeso telah menyediakan platform ini bagi membolehkan suri rumah menikmati faedah dan manfaat bersesuaian dengan kadar caruman sebanyak RM120 setahun,” katanya pada sidang akhbar sempena Program Perkeso bersama Pemimpin Masyarakat dan Seranta peringkat Pejabat Perkeso Sungai Petani, di sini hari ini.

Jelasnya, pihak Perkeso masih berusaha untuk meningkatkan jumlah pencarum SKSSR dari semasa ke semasa termasuk melalui pendekatan mendapatkan penaja untuk caruman tersebut.

“Kita telah cuba dekati pelbagai pihak untuk taja bayaran caruman SKSSR termasuk Pejabat Parlimen Sungai Petani ini yang luluskan tajaan caruman berjumlah RM12,000 kepada 100 suri rumah di Parlimen itu bagi tempoh caruman selama setahun,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI