fbpx

Iltizam PDP bimbing graduan menganggur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hizwani (tengah) bersama peserta Iltizam PDP sebelum ini, Shahrul Anuar Salleh dan Aini Nadia Mohd. Sharif.

BERDASARKAN Statistik Tenaga Buruh Malaysia, Julai 2024, kadar pengangguran berada pada paras 3.3 peratus, melibatkan 563,700 orang penganggur.

Pada masa sama, kadar pengangguran bagi orang muda lebih tinggi, iaitu 10.5 peratus bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun dan 6.5 peratus bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun.

Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) berusaha menangani pengangguran dalam graduan Bumiputera dengan menawarkan peluang mempertingkatkan ketersediaan untuk karier profesional menerusi Program Pembangunan Profesional (PDP) di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya, Iltizam.

Setiap tahun, sekitar RM5 juta diperuntukkan untuk PDP, yang mana peserta diberi gaji RM2,500 sepanjang mengikuti program 12 bulan itu.

Menjelang tarikh tutup permohonan 30 September ini, Kosmo! mengikuti sesi soal jawab dengan Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan berhubung program berkenaan.

KOSMO!: Mengapa program PDP ini diwujudkan?

Hizwani: Iltizam PDP diwujudkan bagi menangani isu pe­ngangguran graduan, terutama­nya dalam kalangan Bumiputera.

Menurut Laporan Survei Tenaga Buruh Suku Kedua 2024, jumlah penganggur adalah 557,800 orang, yang mana penganggur Bumiputera adalah pa­ling tinggi seramai 361,400, diikuti Cina 68,700 dan India 43,400.

Program yang telah dijalankan sejak tahun 2012 ini bertujuan menyokong graduan Bumiputera daripada isu rumah yang kurang berkemampuan dan telah me­nganggur melebihi enam bulan.

PDP menyediakan latihan sambil bekerja dan pendedahan kepada alam pekerjaan sebenar, membuka peluang untuk pembangunan kendiri dan mempelajari kemahiran profesional, me­ningkatkan kemahiran insaniah untuk kejayaan dalam kerjaya dan meningkatkan kebolehpasaran untuk mendapat kerja.

Ia memberi tumpuan kepada menambah baik penjenamaan peribadi graduan bagi memboleh­kan mereka menonjolkan keupayaan dan kekuatan masing-masing kepada bakal majikan serta meningkatkan keyakinan dan kepercayaan diri sebagai landasan pelancaran kerjaya mereka.

Hizwani

Apakah punca utama graduan menganggur?

Ada beberapa faktor termasuk ketidakpadanan kemahiran, kekurangan pengalaman yang relevan dengan industri serta kurang keyakinan pada diri sendiri.

Secara khusus, 35 peratus graduan yang menganggur di Malaysia menyatakan kekurangan kemahiran profesional sebagai cabaran utama.

Ini lebih ketara dalam kala­ngan graduan Bumiputera, yang mungkin menghadapi hala­ngan tambahan seperti peluang rangkaian yang lebih terhad dan kurang akses kepada bimbingan.

Iltizam PDP secara langsung menangani isu-isu ini dengan menawarkan pengalaman praktikal, latihan yang disasarkan dan akses kepada rangkaian profesional yang menyokong.

Bagaimana Ilitizam PDP menangani cabaran ini?

Program ini merangkumi latihan insaniah, kemahiran lisan, penjenamaan peribadi dan bimbingan kerjaya, yang membantu peserta membina jati diri serta kemahiran yang diperlukan dalam industri.

Selain itu, peserta menerima gaji yang kompetitif, insurans, perlindungan perubatan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memastikan kesejahteraan mereka.

Program ini juga menekankan bimbingan dan pementoran, di samping menyediakan peluang untuk berhubung dengan rangkaian alumni yang luas bagi memperkukuh peluang kerjaya mereka di masa hadapan.

Iltizam PDP menyediakan penempatan pekerjaan selama 12 bulan di syarikat bereputasi, di mana peserta bekerja sebagai Graduate Associate.

Sejak dilancarkan pada 2012, terdapat seramai 627 graduan menganggur telah berjaya membina kerjaya cemerlang melalui PDP.

Setakat ini, 90 peratus daripada peserta kami telah mendapat jawatan tetap dalam masa enam bulan selepas tamat program.

Graduan PDP telah berjaya mendapat penempatan tetap dalam organisasi termasuk Ekuinas, syarikat-syarikat portfolionya dan syarikat rakan kongsi seperti Al-Ikhsan Sports, SOCIO Intelligence Sdn. Bhd., Alfa-Meli Sdn. Bhd., Ahlan Academy for Excellence Sdn. Bhd., Star Media Group Berhad, Majlis Amanah Rakyat, Accenture Technology Solutions Sdn. Bhd. dan banyak lagi.

Apakah syarat untuk memohon?

Mereka yang layak ialah Bumiputera berusia bawah 30 tahun pada 31 Disember 2024 dan mempunyai sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda dalam mana-mana bidang dengan Purata Nilai Gred Terkumpul minimum 2.8 dari universiti tempatan.

Selain itu, mereka perlu ber­asal dari isi rumah dengan pendapatan bulanan tidak melebihi RM5,000 dan masih tidak bekerja pada tarikh tutup permohonan.

Permohonan boleh dibuat di laman web iltizam.ekuinas.com.my.

Bagaimana ILTIZAM PDP menyesuaikan programnya dengan perubahan trend dalam pekerjaan?

Kami telah memasukkan lebih banyak modul latihan digital dan teknologi bagi mempersiapkan peserta kami dengan lebih baik untuk pasaran kerja masa hadapan, terutamanya dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data dan pemasaran digital.

Selain itu, kami juga bercadang untuk memperluaskan lagi rangkaian syarikat rakan kongsi kami untuk menyediakan pelbagai industri dan peranan yang lebih luas kepada graduan.

Diharapkan dalam tempoh lima tahun akan datang, mungkin tidak lagi ada keperluan untuk program seperti PDP kerana industri akan berubah menjadi lebih inklusif dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan yang adil dan seimbang untuk semua graduan.

Pada masa yang sama, kami sedar bahawa perubahan mungkin akan mengambil masa dan kami komited untuk terus memantau keadaan pasaran serta menyesuaikan pendekatan kami agar terus relevan dengan cabaran semasa.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI