fbpx

Hampir putus asa bisnes tak menjadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Firdaus (kiri) bersama Muhammad Nadhir di pejabat syarikat di Kawasan Perindustrian SME Bank Menglembu, Ipoh.

IPOH – Dua rakan baik hampir berputus asa untuk meneruskan perniagaan pengeluaran produk sabun mereka akibat ancaman Covid-19 dan masalah kewangan beberapa tahun lalu.

Pengalaman itu dialami oleh Mohammad Firdaus Pathi dan Muhammad Nadhir Zamziba, yang memulakan perusahaan mereka pada awal tahun 2020 dengan mengeluarkan produk sabun pencuci pakaian, pencuci pinggan, pencuci lantai serta pelbagai lagi berjenama 5CLEAN.

Nasib tidak menyebelahi mereka pada waktu itu apabila sebaik sahaja memulakan pengeluaran produk, dunia dilanda Covid-19.

“Pelaksanaan arahan kawalan pergerakan serta perintah-pe­rintah bagi menangani penularan wabak ini memberikan cabaran kepada kami, terutama untuk memasarkan produk,” kata Mohammad Firdaus kepada Kosmo!

Dua pemuda itu bagaimanapun dapat mengatasi kesukaran tersebut apabila berjaya mendapatkan kebenaran pergerakan, sekali gus berupaya membaiki potensi peluang perniagaan serta meningkatkan permintaan produk.

Cabaran menguruskan aliran tunai pernah mengakibatkan perniagaan dua anak muda ini hampir tutup.

Seperti ungkapan disangka panas hingga ke petang, rupa­nya hujan di tengah hari, mereka sekali lagi ditimpa malang apabila diuji dengan kemampuan dari segi modal.

“Aliran tunai yang makin laju serta kenaikan bahan mentah mendadak memaksa kami berjumpa dengan pelabur, agensi-agensi dan pihak bank untuk mencari dana.

“Prosesnya tak mudah. Keba­nyakan mereka menolak kerana perniagaan kami masih terlalu baharu dan tiada rekod prestasi yang meyakinkan.

“Kami hampir putus asa, tapi kami tahu kalau kami berhenti di sini, kami akan gagal selama-lamanya,” katanya yang menu­buhkan Rayyan Group Industry (M) Sdn. Bhd. bersama Muhammad Nadhir.

Mereka akhirnya berjaya mendapatkan sokongan daripada Sekretariat Usahawan Negeri Perak dan SME Corp Perak, selain bantuan kewangan pembiayaan Tekun dan Yayasan Perak serta bank.

Strategi perniagaan 5CLEAN memfokuskan kepada kualiti, penjenamaan dan kepelbagaian produk bagi memenuhi keperluan pelanggan.

Mohammad Firdaus, 39, berperanan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat manakala Muhammad Nadhir, 39, merupakan Pengarah Urusan.

Perkenalan mereka bermula dari 2003 semasa kedua-duanya menyambung pengajian Diploma Perakaunan di Kolej Islam Darul Ridzuan, yang kini dikenali sebagai Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar.

“Tapi itu baru permulaan. Bila perniagaan mula beroperasi, saingan dalam industri membuatkan kami sedar bahawa perjalanan jauh mencabar.

“Perniagaan kami bukan satu-satunya dalam pasaran. Pesaing lain sudah lama bertapak de­ngan produk yang hampir sama, malah ada yang lebih murah,” kata Muhammad Nadhir.

Jelasnya, antara strategi perniagaan mereka ialah menaikkan kualiti dan penjenamaan, mempelbagaikan produk pencuci selain menawarkan khidmat pengilang peralatan asal (OEM) kepada sesiapa yang mahu mengeluarkan bahan pencuci jenama sendiri serta pengeluaran mesin isian sabun layan diri.

“Perancangan sahaja tidak cukup. Pelaksanaan yang baik, pengurusan kewangan yang te­liti dan pemasaran yang efektif sa­ngat penting.

Pelanggan utama 5CLEAN ialah golongan isi rumah, peniaga dan usahawan kecil.

“Perniagaan yang kami usahakan sekarang terhasil daripada semua pengajaran itu,” ujarnya.

Syarikat itu berpusat di Kawasan Perindustrian SME Bank Menglembu di Ipoh berbekalkan bilangan pekerja di bawah 10 orang dengan jumlah keluaran mencecah sehingga hingga 5,000 botol sebulan.

Pelanggan utama mereka ialah pengguna isi rumah, peniaga serta usahawan.

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI