SHAH ALAM – Lagi 29 individu disyaki mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) direman bagi membantu siasatan berhubung pengeksploitasian termasuk pemerdagangan kanak-kanak.
Perintah reman ke atas individu yang berusia 19 hingga 62 tahun itu terdiri daripada 13 lelaki dan 16 wanita antara satu hingga tujuh hari itu, dibenarkan Timbalan Pendaftar Md. Subri Hashim di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Terdahulu, semua individu yang berpakaian lokap ungu dan jingga itu tiba dengan menaiki beberapa trak serta van polis dengan dikawal ketat anggota polis, kira-kira pukul 11 pagi.
Mereka kemudiannya dibawa untuk tahanan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (a) Akta Kanak-kanak 2001, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.
Semalam, seramai 155 individu termasuk 77 wanita yang disyaki terlibat dengan GISBH diberkas dalam Op Global di Semenanjung Malaysia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan kesemua individu itu ditahan dalam serbuan di 82 premis melibatkan rumah amal, klinik premis perniagaan, ma’ahad dan rumah persendirian. – KOSMO! ONLINE