GUA MUSANG – Seorang lelaki warga Bangladesh yang bekerja di sebuah kebun sayur dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Tanah Tinggi Lojing, petang semalam.
Akhund Md. Ziarul, 37, disedari hilang oleh majikannya selepas tidak pulang ke bangsal penginapan dalam kawasan kebun sayur tidak jauh dari situ.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan itu daripada tukang kebun sayur terbabit pada pukul 3 petang ini.
Katanya, tukang kebun itu bimbang pekerjanya itu hilang semasa runtuhan tanah yang turut mengakibatkan kebunnya musnah.
“Tukang kebun itu berusia 32 tahun dan berasal dari Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang telah cuba mencari pekerjanya di lokasi kejadian, namun gagal kerana keadaan di kawasan berkenaan masih hujan dan cuaca buruk.
“Kawasan kejadian tanah runtuh itu berada dalam kawasan kebun sayur itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Choon Foo berkata, operasi mencari mangsa yang hilang itu dilakukan di lokasi kejadian pada pukul 4 petang tadi.
Katanya, operasi mencari mangsa itu melibatkan seramai masing-masing tujuh anggota polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Gerakan mencari mangsa terpaksa dilakukan dengan berhati-hati kerana lokasi kejadian masih dalam bahaya dan hujan turun berterusan.
“Sekiranya cuaca semakin buruk dan keadaan gelap, kita terpaksa menangguhkan operasi mencari pada esok hari,” katanya.-K! ONLINE