DUNGUN – Keriangan seorang wanita melakukan aktiviti selam skuba berakhir tragedi apabila dia maut akibat lemas di perairan Pulau Tenggol dekat sini, semalam.
Mangsa, Nur Atiqah Emelia Shubli, 33, yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur ditemui lemas di dasar laut perairan pulau tersebut pada pukul 9 pagi dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Dungun.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, sebelum kejadian, Nur Atiqah Emelia telah melakukan aktiviti selam skuba bersama 28 penyelam lain.
“Selaman itu diiringi dua jurulatih selam skuba. Mangsa didapati tidak naik ke permukaan laut bersama penyelam-penyelam lain sewaktu sesi berakhir.
“Dua jurulatih selaman skuba melakukan selaman semula bagi mencari mangsa. Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terus diberi bantuan penafasan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE