fbpx

26,534 pelajar terima WPP PTPTN, babit peruntukan RM39.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Para pelajar bergambar bersama Zambry (tengah) dan Norliza (tengah kiri) pada Majlis Penyerahan WPP PTPTN di Ritz Garden Hotel Manjung, Perak, hari ini.

PETALING JAYA – Seramai 26,534 pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sesi Oktober 2024 ditawarkan Pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sebanyak RM1,500 setiap seorang.

Bantuan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM39.8 juta ini bertujuan untuk menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar memasuki IPTA sekali gus menjaga kebajikan para pelajar.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam kenyataan hari ini berkata, penyerahan WPP kepada para pelajar yang hadir pada hari ini disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Turut hadir Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, Ahli Dewan Negara merangkap Penyelaras Kawasan Beruas, Datuk Dr. Azhar Ahmad, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Perak, Andi Nurali Mohamed.

Kenyataan itu berkata, di Perak, seramai 2,287 orang pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan berjumlah RM3.43 juta.

“Bagi kawasan Lumut, seramai 185 pelajar ditawarkan WPP melibatkan peruntukan berjumlah RM277,500 manakala seramai 30 pelajar ditawarkan WPP melibatkan peruntukan berjumlah RM45,000 di kawasan Beruas,” katanya.

Tambah kenyataan itu, bantuan tersebut diberikan kepada pelajar warganegara yang memberikan persetujuan menerima WPP semasa membuat permohonan kemasukan IPTA melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan IPTA.

“Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar juga merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan.

“Semenjak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 31 Ogos tahun ini, seramai 980,120 pelajar sudah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.45 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, ujarnya, pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP mulai 24 September ini melalui aplikasi myPTPTN dan boleh menunaikannya di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara.

Jelasnya, pelajar hanya perlu membawa bersama cetakan surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan).

Katanya lagi, sah laku WPP adalah selama dua bulan iaitu mulai 24 September hingga 23 November tahun ini.

“Untuk makluman, para pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap IPTA.

“Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN,” katanya.

Maklumat lanjut berkenaan WPP PTPTN dan pinjaman PTPTN boleh diperoleh melalui aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI