fbpx

‘Doakan yang terbaik buat pasangan dilanda perceraian’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEBELAKANGAN ini, pelbagai berita tidak enak dihidangkan dalam media sosial tidak kira sama ada kemelut rumah tangga, perihal keluarga dan tidak ketinggalan pertelingkahan sesama orang industri. 

Bukan mudah sebenarnya untuk menjaga dan menutup rapi isu dalam kain lebih-lebih lagi apabila seseorang itu berstatus figura popular.

Kendatipun, pendekatan berbeza diambil pelakon Ummi Nazeera yang jarang ‘dijerat’ dengan kontroversi sejak awal penglibatan dalam industri.

Kata Ummi atau nama lengkapnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 34, semuanya disimpan demi menjaga maruah keluarga.

“Saya lebih memilih untuk menyimpan kehidupan privasi sebab anak-anak saya juga semakin membesar. 

“Lagipun, saya hanya mahu menumpukan tumpuan kepada kerjaya berbanding kehidupan peribadi yang tidak perlu dipertontonkan.

Umi memanjatkan doa buat rakan-rakan seperjuangan yang dilanda masalah rumah tangga.

“Saya juga sangat menghargai peminat yang berbangga dengan kerjaya saya tanpa perlu melibatkan isu peribadi,” katanya kepada Pose.

Ditanya mengenai keadaan rakan-rakan yang terkait isu perceraian, Ummi enggan melontarkan sebarang pandangan selain hanya mampu mendoakan kesejahteraan mereka.

“Saya tidak mahu komen apa-apa tentang kes perceraian yang semakin meningkat dalam kalangan penggiat industri seni.

“Apa yang jadi kita tidak boleh ramal, kita hanya perlu doakan penyelesaian terbaik buat mereka yang dilanda ujian,” ujarnya.

Kongsinya lagi, segala tindak-tanduk dalam kehidupan dilakukan dengan lebih berhati-hati agar tidak memberi impak negatif terhadap keluarga yang sentiasa menyokong kerjayanya.

“Ya, saya cuba menjaga diri dari sebarang cerita tak enak sejak awal penglibatan lagi dalam industri.

Umi bakal muncul dengan projek drama terbaharu berjudul Andai Tiada Dia tidak lama lagi untuk tayangan Astro. | Foto IHSAN UMI NAZEERA

“Hal ini kerana saya membawa nama keluarga. Sekiranya ada benda kurang elok yang terjadi, pasti nama suami, ibu dan bapa saya terpalit.

“Malah, anak-anak saya juga akan terkena tempias dengan apa yang saya lakukan,” tutur pelakon filem Bisik Pada Langit itu. 

Tidak mahu berlama-lama dalam topik tersebut, Ummi terus berkongsi rasa gembira atas kejayaan memperagakan busana pereka fesyen terkenal, Fiziwoo pada bulan lepas.

“Alhamdulillah, saya mendapat respons yang baik semasa menjadi model kepada busana jenama  Fiziwoo di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) pada Ogos lalu. 

“Saya juga terharu terpilih untuk memperagakan busana koleksi Spring Summer kerana dapat mengubah stereotaip sesetengah pihak yang menganggap rekaan Fiziwoo nampak seksi.

“Kebetulan pula saya memang seorang yang suka berfesyen jadi teruja berjalan di atas pentas peragaan menggayakan busana pereka fesyen terkenal itu,” jelasnya. 

Pendatang baharu

Dalam masa sama, Ummi turut meluahkan keterujaan terhadap kemunculan ramai pelakon baharu yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.

“Kebanyakan wajah-wajah baharu dalam industri kini memang sangat berbakat dan saya kagum ramai melangkah masuk ke dunia seni.

“Ini bermakna industri kita lebih ramai pemain seni yang sangat berbakat tidak kira dari segi lakonan, nyanyian ataupun pengacaraan.

“Mereka ini juga akan menjadi pelapis pelakon lama suatu hari nanti dan saya nampak dua orang iaitu Trisha Ooi serta Nafiz Muaz sebagai artis berpotensi akan bersinar kelak,” ujarnya.

Ummi yang pernah berhadapan isu menegur artis baharu memaklumkan tidak lagi melalui kejadian sama.

“Ya, memang saya pernah berhadapan situasi menegur pelakon baharu yang tidak menepati masa.

“Selepas insiden tersebut, saya tidak lagi berhadapan situasi sama.

“Mungkin kerana rata-rata pelakon baharu sekarang sangat menjaga disiplin dan adab supaya dapat kekal,” tuturnya.

Sangat menjaga perihal privasi daripada menjadi canangan orang awam, Umi percaya apa yang seharusnya dipertontonkan adalah bakat dan urusan kerjayanya.

Anak jati Besut,Terengganu itu turut menasihati pelakon baharu supaya menyenangkan urusan orang lain termasuk kru produksi.

“Permudahkan urusan orang lain, insya-Allah urusan seharian kita jua dipermudahkan.

“Nasihat ini bukan sahaja buat pelakon baharu tetapi buat semua orang yang sering menyukarkan kehidupan orang lain.

“Saya percaya perkara ini boleh diaplikasikan dalam apa jua bidang yang kalian ceburi,” kata pelakon drama Nur Kasih itu.

Sebelum menggulung bicara, Ummi berkongsi perkembangan terkininya yang bakal menghiasi televisyen pada Oktober depan.

“Sekarang saya sedang menjalani satu penggambaran drama Andai Tiada Dia yang dilakonkan dengan Hisham Hamid.

“Insya-Allah, drama ini akan mula ditayangkan di Astro pada pertengahan bulan depan.

“Selain itu, saya juga sibuk menguruskan perniagaan tudung yang mengikuti fesyen terkini wanita berhijab,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI