MILAN – Masa depan jurulatih AC Milan, Paulo Fonseca boleh dianggap seperti ‘telur di hujung tanduk’ menjelang pertemuan setempat menentang Inter Milan dalam saingan Serie A di San Siro awal pagi esok.
Difahamkan, pengendali dari Portugal itu berdepan potensi dipecat sekiranya gagal mencatat kemenangan ke atas Inter, lebih-lebih lagi Milan baru mengutip lima mata dalam empat perlawanan.
Selain itu, kekalahan 1-3 kepada Liverpool pada aksi sulung Liga Juara-Juara Rabu lalu turut menyebabkan pengurusan tertinggi Rossoneri mula mempersoalkan kredibiliti Fonseca untuk terus membimbing pasukan tersebut.
Penasihat Lembaga Pengarah Milan, Zlatan Ibrahimovic dikatakan sudah mula hilang sabar dengan aksi ditampilkan Milan pada saingan musim ini dan memberikan peluang terakhir kepada Fonseca ketika berdepan Inter.
Tambah merisaukan, Milan juga dilaporkan sudah memiliki beberapa nama yang mungkin dibawa masuk bagi mengambil alih jawatan jurulatih sekiranya Fonseca ditunjukkan jalan keluar dalam masa terdekat.
Ada juga laporan media Itali yang mendakwa jurulatih sedia ada itu akan tetap dipecat biarpun mereka berjaya mencatat kemenangan ke atas Inter dalam pertembungan setempat awal pagi esok.
Antara nama yang disebut-sebut bakal menggantikan kedudukan Fonseca sebagai jurulatih Milan adalah bekas jurulatih Borussia Dortmund, Edin Terzic serta bekas pengurus Chelsea, Maurizio Sarri. – AGENSI