fbpx

Feri Kuala Kedah-Langkawi beroperasi semula esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ALOR SETAR – Perkhidmatan feri ke Langkawi dari Kuala Kedah akan beroperasi semula pada esok setelah beberapa hari dihentikan ekoran laut bergelora.

Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Dr. Baharin Baharom berkata, pihaknya merancang untuk melaksanakan sembilan trip perjalanan keluar dan masuk ke Langkawi dari Terminal Penumpang Kuala Kedah.

“Kami merancang sebanyak lima perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah esok bermula pukul 10.30 pagi, 12 tengah hari, 1.30 tengah hari, 3 petang dan 4 petang.

“Untuk perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi pula sebanyak empat perjalanan dijadualkan iaitu pukul 1.30 tengah hari, 3 petang, 4.30 petang dan 6 petang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kesemua perjalanan feri ke Langkawi dari Kuala Kedah dibatalkan sejak Selasa lalu berikutan keadaan laut bergelora serta angin kencang yang dikhuatiri membahayakan keselamatan penumpang.

Susulan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai angin kencang kelmarin, pihak berkuasa memutuskan untuk menutup Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah sehingga hari ini dengan perjalanan ke Langkawi hanya boleh dilakukan dari Kuala Perlis.

Baharin menambah, penjualan tiket secara dalam talian berjalan seperti biasa dan kekal mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

“Sepanjang penutupan Terminal Penumpang Kuala Kedah dari 17 hingga 21 September, seramai 6,729 penumpang menuntut pemulangan wang tiket, 5,721 tukar laluan dari Kuala Perlis dan 86 lagi tidak dapat dikesan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI