fbpx

Banjir: Jumlah mangsa menurun kepada 6,244

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan banjir di sekitar bandar Kota Tinggi, Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Bilangan mangsa banjir di Johor terus mencatatkan penurunan dengan merekodkan 6,244 mangsa banjir daripada 1,363 keluarga setakat pukul 4 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 6,991 mangsa banjir daripada 1,841 keluarga pada 12 tengah hari.

“Setakat ini, sebanyak 58 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi di lapan daerah terlibat banjir iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang, Kulai, Batu Pahat, Mersing, Pontian dan Segamat.

“Sebanyak 15 PPS sudah ditutup berikutan banjir di beberapa kawasan sudah surut dan mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi, hujan lebat dijangka terus melanda Johor Bahru, Kluang, Kulai, Mersing, Segamat dan Kota Tinggi sehingga esok.

Dalam pada itu, Vidyananthan memberitahu, terdapat 16 jalan melibatkan empat daerah sudah terputus hubungan akibat banjir.

Katanya, daripada jumlah tersebut Kota Tinggi paling terus terjejas yang melibatkan 10 jalan diikuti Kluang (lima jalan); Mersing (dua jalan) dan Johor Bahru (satu jalan).

“Semua jalan di Kota Tinggi yang terjejas banjir ditutup untuk semua kenderaan kecuali Jalan Kampung Kelantan/Kampung Panti yang dibuka untuk laluan kenderaan berat sahaja,” katanya.

Menurutnya, Jalan Haji Sujud di Taman Muhibbah di daerah ini ditutup sepenuhnya kerana jambatan runtuh.

Jelasnya, di Kluang, hanya Jalan Batu Pahat-Mersing di Ladang Hanifah dibuka untuk kenderaan berat dan Jalan Kluang-Kota Tinggi ditutup satu lorong berikutan cerun runtuh.

Katanya, di Mersing, hanya Jalan Jemaluang-Batu Pahat dibuka untuk kenderaan berat.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI